KEPUTUSAN SPM P.ISLAM 2010

KELULUSAN 100 % / GPK 2.25

Alhamdulillah dan tahniah kepada semua calon SPM 2010 yang telah berjaya mencatatkan keputusan terbaik bagi subjek Pendidikan Islam. Pastinya segala usaha yang bersungguh-sungguh, doa yang berterusan dan tawakkal yang sepenuhnya kepada Allah telah membuahkan hasil yang terbaik. Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli Panitia Pendidikan Islam, ustaz dan ustazah yang sepenuh upaya dan daya mencurahkan ilmu kepada anak didik dan sentiasa menyokong dan mendokong pelbagai program yang dijalankan bagi meningkatkan prestasi Pendidikan Islam SMTPJB. Semoga segala usaha diberikan ganjaran yang sebaiknya oleh Allah S.W.T. Kita teruskan lagi dan lipatgandakan usaha untuk kecemerlangan SPM tahun 2011 yang lebih gemilang. Insya Allah...

KEM TAJWID SMTPJB





Panitia Pendidikan Islam SMTPJB telah menganjurkan Kem Tajwid khas untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 bertempat di Surau at-Taqwa pada 11 Mac 2011 / Jumaat / 10.30 - 12.00 tgh. Pelajar telah diberikan penerangan tentang hukum nun mati dan mim mati. Edaran nota telah diberikan kepada semua pelajar. Pelajar kemudian dibahagikan kepada kumpulan kecil yang terdiri dari 6 orang bagi setiap kumpulan dan dibekalkan kertas lukisan bersaiz A3. Pelajar dikehendaki menghasilkan peta minda tajwid mengikut kreativiti sendiri. Kelihatan pelajar begitu bersemangat untuk menyiapkan peta minda tajwid dan yang terpilih akan dipaparkan hasil kerja mereka di kawasan sekolah. Pelajar juga dibekalkan dengan edaran latihan iaitu teka silangkata dan cari contoh kalimah bertajwid daripada al-Quran. Semoga program ini dapat membantu pelajar memahami, mengingati dan mengaplikasikan ilmu tajwid dalam pembacaan al-Quran seharian. Terima kasih kepada semua GPI dan pelajar yang terlibat.

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1432 H






Alhamdulillah, sambutan memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W telah berjaya diadakan pada 19 Februari 2011. Majlis bermula jam 7.45 hingga 1.00 ptg. Penceramah undangan ialah Ustaz Mohd. Hanafi b. Abdul Rahman, Penolong Pengarah Bahasa Arab, Sektor Pendidikan Islam JPNJ. Pelbagai pengisian telah disediakan. Antaranya :

Perarakan Sepanduk dan Selawat
Pertandingan Sepanduk Antara Blok
Bacaan Al-Quran dan terjemahan
Ceramah Maulidurrasul
Berzanji dan Marhaban
Drama / Sketsa Maulidurrasul
Persembahan Multimedia
Kuiz Cintai Rasulullah
Penyampaian Hadiah

PRAKTIKAL SEMBELIHAN AYAM

Penerangan tentang ilmu sembelihan oleh Ustaz Firdaus
Ustaz Alwee menerangkan kaedah sembelihan yang betul
Pastikan 2 urat penting ni putus ye...
Pelajar mempraktikan ilmu yang dipelajari
Pelajar perempuan juga nak cuba sembelih..

Alhamdulillah pada 15 November yang lalu telah diadakan praktikal sembelihan untuk pelajar tingkatan 4 bertempat di Surau At-Taqwa dan kawasan sekitarnya. Taklimat telah diberikan di surau dan pelajar dibekalkan dengan edaran pengertian, rukun, perkara sunat, makruh dan hikmah sembelihan. Artikel tentang sembelihan dari sudut sains dan senarai semak sebelum, semasa dan selepas sembelihan. Sebanyak 15 ekor ayam telah disediakan. Seorang pelajar mewakili setiap kelas ( 14 kelas ) telah berjaya menyembelih ayam dengan sempurna di bawah bimbingan ustaz Alwee dan Ustaz Khairul Anuar. Semoga program ini dapat memberi ilmu dan pengalaman kepada para pelajar tentang sembelihan dalam Islam.

PRAKTIKAL IBADAH HAJI

Tuan Hj. Mohd. Hodi sedang memberikan taklimat ibadat haji
Ibadat Tawaf
Ibadat Melontar Jamrah
Ibadat Saie
Wukuf di Padang Arafah
Panitia Pendidikan Islam SMTPJB telah mengadakan program Praktikal Ibadat Haji pada 8 dan 9 November 2010 bertempat di Dewan Dagang. Selama 2 hari pelajar dipecahkan kepada 2 kumpulan. Semua tempat rukun dan wajib haji dimodelkan di dalam dewan. Aktiviti yang berskala kecil ini dilakukan agar pemantauan dan pergerakan haji dapat dijalankan secara teratur dan dibimbing oleh guru di samping bagi memastikan setiap pelajar dapat melakukannya dengan berkesan. Bahan edaran yang memaparkan rajah susunan ibadat haji bermula dengan niat sehinggalah selesai haji. Terima kasih kepada semua GPI atas kerjasama. Tak lupa juga ucapan terima kasih kepada Tuan Haji Mohd. Hodi di atas bimbingan yang diberikan.

CERAMAH TEKNIK MENJAWAB P.ISLAM SPM




Alhamdulillah, ceramah teknik menjawab Pendidikan Islam telah dapat dijalankan dengan lancar pada tarikh 13 Oktober 2010 ( Rabu ). Penceramah jemputan ialah Ustazah Nabilah Bt. Jaafar dari SMK Tun Syed Nasir Ismail Johor Bahru. Pihak panitia amat berbesar hati atas kesudian Yang Berbahagia Ustazah Nabilah untuk berkongsi kepakaran sebagai Penanda Kertas SPM Pendidikan Islam yang berpengalaman luas. Program yang bermula jam 3.15 petang telah dipenuhi dengan sesi ceramah dan kuiz sebelum tamat jam 4.45 petang. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka dalam peperiksaan SPM khususnya bagi subjek Pendidikan Islam. Terima kasih juga kepada Ustaz Alwee, Ustaz Firdaus, Ustazah Juhaida Husna dan Ustazah Zariah atas kerjasama dalam menjayakan program ini.

SELAMAT BERPUASA






SOLAT DAN WARNA-WARNA ALAM




Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur misalnya). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Peristiwa Israk & Mikraj


Sebelum Baginda di Israk Mikrajkan, Baginda dibedah dadanya oleh Malaikat Jibrail dan Mikail. Hati dan perut Baginda dibasuh, dicuci dan dibuang alaqah (ketulan hitam) iaitu tempat syaitan berbisik untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan air zam-zam. Setelah dicuci Malaikat Jibrail dan Mikail menuangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Baginda dan dijahit dengan menggunakan Khatimin Nubuwwah.

Selepas pembedahan selesai, maka Baginda di Israk oleh Malaikat Jibrail dan juga ditemani oleh Malaikat Israfil dengan menaiki Buraq. Berbagai tempat dikunjungi oleh Baginda ketika Israk . Setiap kali berhenti Malaikat Jibrail mengarahkan Baginda melaksanakan solat Sunnat 2 rakaat. Tempat-tempat yang dikunjungi ialah :

  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Baginda akan melakukan hijrah.

  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa as menerima wahyu daripada Allah.

  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa as dilahirkan).

Ketika dalam perjalanan Baginda diganggu oleh Jin Afrit dengan Api Jamung.

Baginda juga dapat melihat berbagai peristiwa yang menarik, seperti :

  1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Baginda diberitahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad kejalan Allah (Fisabilillah) yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”

  2. Tempat yang berbau wangi. Baginda diberitahu oleh Jibrail :“Itulah bau kubur Masyitah iaitu tukang sisir rambut anak Firaun bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang telah direbus oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah dan ia tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan.”

  3. Sekumpulan orang yang sedang menghantukkan kepala mereka. Setiap kali kepala mereka pecah, kepala mereka disembuhkan kembali, lalu dihantukkan semula sehingga pecah pula. Demikian perbuatan ini diulang berkali-kali. Jibrail memberitahu Baginda: “Itulah orang-orang yang berat kepala untuk sujud (sembahyang) kepada Allah.”

  4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka juga dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : “Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”

  5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail : “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.”

  6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba.”

  7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail:“Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”

  8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail:"Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”

  9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail : "Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah iaitu mencela dan menghinakan orang.”

  10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail : “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”

  11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Baginda tidak memperdulikannya. Kata Jibrail : “Itulah dunia.” Jika Baginda memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat."

  12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Baginda berhenti. Baginda tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.”

  13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail : “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”

Setelah sampai di Masjid Al-Aqsa Baginda turun dari Buraq dan mengimamkan solat dua rakaat kepada para ambiya dan para mursalin. Setelah selesainya solat, Baginda dibawa oleh jibrail 2 gelas air susu dan arak. Baginda memilih air susu untuk diminum, maka berkata jibrail “Baginda membuat pilihan yang betul, jika Baginda memilih air arak nescaya ramai umat Baginda akan sesat.” Apabila selesai Baginda minum, berlakulah peristiwa mikraj iaitu :

  1. Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Baginda dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

  2. Langit Pertama: Baginda dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam as Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

  3. Langit Kedua: Baginda dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa as dan Nabi Yahya as.

  4. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf as.

  5. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris as.

  6. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun as yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

  7. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa as. Baginda mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat Baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

  8. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Baginda, Nabi Ibrahim as bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitulah La Haula Wala Quwwata Illa Billah". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim as bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa Lah Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa Lah Haula Wa Lah Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Baginda dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

  9. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Baginda menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya Baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

  10. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Baginda masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

  11. Tangga Kesepuluh: Baginda sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah swt dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Baginda. Allah swt : “Ya Muhammad.”Baginda : “Labbaika.” Allah swt : “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.” Baginda : “Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izinMu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.” Allah swt : “aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang”

  12. Selesai munajat, Baginda di bawa menemui Nabi Ibrahim as kemudian Nabi Musa as yang kemudiannya menyuruh Baginda merayu kepada Allah swt agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Allah mensyariatkan solat 5 waktu kepada umat Islam, Baginda turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini Baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Peristiwa Israk dan mikraj merupakan bukti kekuasaan allah kepada seluruh manusia di muka bumi ini. Peristiwa ini juga sebagai ujian kepada umat Islam, kerana mengikut logik akal peristiwa ini tidak benar dan tidak boleh sepantas 1 malam berlaku. Tetapi iman seseorang itu akan membenarkan peristiwa ini adalah benar dan merupakan peristiwa yang bersejarah kepada umat Islam.

SELAMAT HARI GURU





CARA BERADAB :
Memberi salam apabila bertemu
Bercakap menggunakan bahasa yang sopan
Manis muka menerima teguran dan nasihat guru
Menegur atau bertanya khabar apabila bertemu guru di luar kawasan sekolah
Membuat kerja yang disuruh dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh

CARA TIDAK BERADAB :
Tidak memberi salam apabila bertemu
Bercakap menggunakan bahasa yang kasar dan melawan guru
Bermasam muka menerima teguran dan nasihat guru
Tidak mengendahkkan guru apabila bertemu di luar kawasan sekolah
Tidak ikhlas membuat kerja yang disuruh dan tidak bersungguh-sungguh

Menurut Imam al-Ghazali seseorang murid hendaklah:

Memberikan sepenuh perhatian kepada gurunya.
Mendiamkan diri sewaktu guru sedang menyampaikan pelajaran.
Menunjukkan minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru.
Tidak meninggikan suara terhadap guru, memadailah berkata dengan suara yang didengari .
Sekiranya perlu bertanya, pastikan guru bersedia memberikan jawapan.
Menghormati guru di hadapan dan belakangnya.
Menutup kelemahan guru agar tidak didedahkan tanpa keperluan.
Mendoakan kebaikan baginya.

“Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan berselawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”
(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

TERIMA KASIH CIKGU...

MARI BERTARANNUM


AYAT-AYAT suci al-Quran apabila dilafaz dengan alunan suara yang baik dan merdu sememangnya mengasyikkan, meskipun tidak memahami erti dan maksud murni kalam Allah itu. Namun, bukan semua pencinta al-Quran mampu melafazkan kalimah suci al-Quran secara berlagu mengikut lagu-lagu dan hukum yang ada.

Jika sekalipun tahu dan mahir dalam bidang tajwid serta hafaz al-Quran dan memahami bahasa Arab, itu tidak bermakna seseorang itu mampu mengalunkan ayat-ayat suci Allah itu dengan lunak, merdu dan boleh mengasyikkan pendengar secara berlagu.Melagukan bacaan al-Quran yang dinamakan tarranum merupakan salah satu cabang keilmuan dalam pengajian al-Quran.

Malah, melagukan ayat-ayat al-Quran dalam bacaan sudah pun bermula sejak di zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Amalan ini diteruskan oleh para sahabat dan para tabie terdahulu. Untuk melagukan lagu-lagu dalam al-Quran, ia memerlukan bakat semula jadi anugerah Allah s.w.t., terutama suara, sebagaimana Bilal bin Rabah (zaman Rasulullah s.a.w.)

Oleh itu, Panitia Pendidikan Islam SMTPJB telah memperkenalkan slot Mari Bertarannum di dalam Majlis Membudayakan Al-Quran dan dibimbing oleh Tuan haji Mohd. Hodi bin Reduwan, tenaga pengajar di SMTPJB yang mempunyai kemahiran ilmu bertarannum. Sebagai permulaan, seluruh warga SMTPJB diajar mengalunkan lagu Bayati. Sambutan amat menggalakkan dimana para pelajar dan guru begitu bersungguh-sungguh mengalunkan lagu tersebut walaupun ayat yang sama dibaca berulang kali iaitu suarh al-Mukminun ayat 1 hingga 5.

SELAMAT HARI IBU


BERSEMPENA dengan sambutan Hari Ibu yang disambut pada Ahad kedua bulan Mei, jatuhnya pada tanggal 9 Mei 2010 pada tahun ini, marilah kita sejenak menghayati segala jerih payah ibu kita dalam membesarkan kita.

Sembilan bulan sepuluh hari lamanya, beliau mengandungkan kita, menyusukan, membelai dan memberi sepenuh kasih sayang buat seorang insan yang bernama anak. Aduhai, betapa besarnya nilai pengorbanan seorang ibu.

Sejarah Hari Ibu.

Mengikut catatan sejarah, hari ibu ini disambut bersempena adat pemujaan terhadap ibu di Yunani purba, yang menyambut satu perayaan untuk ibu dewa dewi Yunani agung.

Orang Rom purba pula menyambut perayaan yang memperingati dewi Juno, di mana ibu-ibu akan diberi hadiah pada hari tersebut.

Jelasnya, sambutan hari ibu ini telah disebarluaskan ke merata pelusuk dunia dan disambut pada tarikh-tarikh yang berbeza mengikut kawasan. Di Malaysia akan disambut pada Hari Ahad kedua di bulan Mei setiap tahun.

Penghayatan sambutan Hari Ibu.

Jadi tuan puan dan adik-adik semua, kenanglah jasa ibunda kita. Hargailah saat-saat beliau bersama kita. Bagi yang telah berkeluarga, luangkanlah masa untuk bersamanya. Tak dapat selalu, seminggu sekali pun tak apa. Kalau tak sempat, sebulan sekali pun okay.

Yang masih menuntut, tak kira di IPT, sekolah atau mana-mana pun sekali, belajarlah bersungguh-sungguh. Jadikanlah kejayaan anda yang cemerlang di dalam pelajaran sebagai balasan kepada pengorbanan ibu selama ini.

Seorang ibu tak mahu apa-apa daripada kita sebagai seorang anak, selain mahukan perhatian dan kasih sayang kita kepadanya.

SMTPJB JOHAN NASYID PERINGKAT ZON

Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Nasyid SMTPJB di atas kejayaan menjuarai Festival Nasyid Peringkat Zon Bandar dan Majidi JB dan akan bertanding diperingkat daerah Johor Bahru. Tahniah juga kepada Ustaz Firdaus yang sentiasa membimbing tanpa jemu..!!

SMTPJB akan mewakili zon Bandar ke peringkat daerah bagi acara berikut :

Tilawah Al-Quran Lelaki ( Johan ) Pasukan Nasyid ( Johan )



MTQ PERINGKAT SEKOLAH 1431 H





Majlis Tadarus Al-Quran peringkat sekolah telah diadakan pada 24 Mac 2010. Acara yang dipertandingan ialah : Tilawah Al-Quran, Berzanji, Syarahan dan Tulisan Khat. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan terima kasih kepada seluruh GPI, guru yang dilantik sebagai hakim dan seluruh pelajar SMTPJB..!!



KAMI MERINDUIMU YA RASULULLAH...

SALAM MAULIDURRASUL


“ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian, jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar."
( at-Taubah: 128-129 )


SAY NO TO VALENTINE DAY


Asal-usul Valentine

Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera.

Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Valentine)

SEBAB PENGHARAMAN :

1) Kita hanya boleh merayakan perayaan yang diiktiraf oleh Islam

2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan.

3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif.

4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan dengan perlakaun seks bebas yang kononnya bagi membuktikan 'ketulenan' cinta seseorang kepada kekasihnya

5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya.

6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan"

DOA KHATAM AL-QURAN





PAHANG HARAMKAN ROKOK




Ingatan kepada perokok !
Keputusan muzakarah Jawatan Kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan:
"Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan".

Alasan ini jelas berdasarkan firman Allah yang bermaksud :
"Janganlah kamu binasakan diri kamu dengan tangan kamu sendiri"
- Surah Al Baqarah, ayat 195.

Jika nak dikaitkan pula dengan pembaziran.. maksud Al Quran dengan jelas menyatakan :
" Sesungguhnya perbuatan membazir itu adalah saudara syaitan"

Kesan Kepada Orang Yang Hampir Dengan Perokok :
"Tidak memudaratkan (orang lain) dan tidak saling memudaratkan (antara satu sama lain).
Hadis Riwayat Ahmad Ibnu Majah

Oleh itu, katakan TAK NAK DAN TIDAK KEPADA ROKOK !!!

Asmaul Husna..

Demi masa...

Hari ini...

Waktu Solat...

Keindahan Alam...

Loading...

KETUA PANITIA PI

KETUA PANITIA PI
Ustaz Khairul Anuar Hj. Ramlan

SETIAUSAHA

SETIAUSAHA
Ustazah Juhaida Husna Md. Shukor

AHLI PANITIA

AHLI PANITIA
Ustaz Mohd. Firdaus Ahmad

Ustaz Alwee Shamrin

Ustazah Zariah Zainuddin

JOM BELAJAR ONLINE

Info Terkini..

Ketahuilah...

Berita Terkini..

Palestinkini.info

BADAN DAKWAH SMKTUN

Koleksi Video..

Loading...

Anda pengunjung ke..

About this blog